Your Magic Blog: Spiritual Itu Indah!

Monday 10 November 2014

Spiritual Itu Indah!


Salam kedamaian utk sesisi alam :)


Spiritual itu indah, walau dari sudut mana pun ia dilihat...

Semua keindahan yang ada di alam ini, samada keindahan yang boleh ditangkap oleh panca indera mahupun hanya persepsi fikiran dan imajnasi semua adalah pancararan sifat indahnya Tuhan. Alam fizikal ini adalah pancarannya yang terluar, dan ini pun sudah membuat kita terkagum-kagum. Sedangkan keindahan yang lebih besar dan melimpah ada di alam rohani, keindahan yang tidak terlukis oleh apa juga pena dan bahasa.


Perjalanan spiritual adalah sebuah perjalan kesedaran yang mendaki ke atas. Ke atas ertinya menuju ke dimensi alam yang semakin tinggi, ke getaran yang semakin halus. Ke atas ertinya menuju kepada penzahiran sifat Tuhan yang semakin besar dan semakin besar. Mengapa begitu? Kerana sifat Ketuhanan yang Tidak Terbatas itu menzahirkan Nur nya dgn cara, semakin ke bawah semakin sedikit dan Terbatas yang diperlihatkan, seperti sebuah kon yang terbalik. Alam zahir ini adalah umpama bucu kon terbalik tersebut, yang merupakan bahagian paling kecil dari keseluruhan kon. Semakin mendaki ke atas, semakin besar dan semakin besar bahagian kon yang boleh kita lihat. Yang Tidak Terbatas menunjukkan dirinya dalam bentuk Yang Terbatas.

Oleh kerana seluruh alam fizikal ini adalah hakikatnya sebuah pernyataan atau ekspresi sifat-sifat ketuhanan, seperti perumpamaan kon di atas tadi, maka semakin kita menyelaraskan kesedaran rohani kita ke atas seharusnya semakin banyak dan luas keindahan sifat-sifat Tuhan yang boleh kita alami. Proses menyelaraskan ke atas ini adalah proses yang kaum sufi katakan sebagai proses memfanakan diri, proses melepaskan ikatan-ikatan 4 unsur alam yang mengikat dan menghadkan potensi Roh.

Pengalaman-pengalaman spiritual ketika menuju ke atas adalah sebuah proses yang sangat indah. Di sini fokus utama bukan soal dosa pahala, atau syurga neraka. Di sini adalah soal menyingkap Nur Ilahi yang semakin ke atas semakin besar peratus pernyataan atau ekspresinya. Indahnya pengalaman itu sehingga kaum sufi yang menikmatinya hanya boleh berkata, 

'Man lam yadzuq lam ya'rif'

'Siapa yang tidak rasa tidak akan faham'.

Mengalami 'rasa' itu mereka panggil sebagai proses Dzuq atau Dzauq. Tenggelam di dalam 'rasa'  itu dalam suatu tempoh mereka panggil Sakr, atau mabuk ketuhanan. Kembali ke keadaan normal dan merindui moment 'rasa' itu mereka panggil Isq, atau rindu. Fana terjadi ketika fasa Sakr. Fana adalah pengalaman rohani di mana yang mengalaminya 'syuhud' atau menyaksikan bahawa dirinya dan seisi alam secara kolektif melebur menjadi sebuah kesatuan di mana Tuhan menzahirkan Diri nya samada aspek perbuatan, nama, sifat dan yang terakhir dalah wujud Nya.

Ada ketikanya, peribadi yang mengalami perkara ini tidak lagi dapat mengawal ikatan-ikatan atau hijab yang membatasi Daya ketuhanan yg ada pada dirinya sehingga terjadinya pembebasan Daya yang melebihi paras normal dan terjadilah apa yang mereka panggil sebagai Keramat. Keramat adalah perbuatan ajaib yang dilakukan oleh para wali, sedangkan mukjizat adalah perbuatan ajaib yang dilakukan oleh para nabi. Perkara yang sama, namun nama yang berbeza utk membezakan darjat spiritual manusia yang melakukannya.

Sampai sini dulu tulisan kali ini. Mudah-mudahan boleh menjadi peta bagi yang sedang melalui spiritual journey, walau apapun tradisinya.

Jika dunia membuat anda putus harapan, ingatlah bahawa ada sesuatu yang sangat indah di dalam diri anda yang boleh anda gali dan kembangkan utk menjadi bekalan dan senjata terindah dan terhebat dalam meniti hidup di dunia menuju akhirat.

Salam hormat, salam kasih sayang tidak terbatas tulus dari hati :)



No comments:

Post a Comment

BAHAGIA DAN BERLIMPAH

BAHAGIA DAN BERLIMPAH Kondisi hidup mengikuti kondisi hati. Di sini, hati mewakili emosi dan perasaan. Perasaan itu sifatnya magnetik. Ia ...