Your Magic Blog: April 2013

Monday 1 April 2013

Luruskan Fahamanmu Sahabat


Salam semua sahabat :)

Di luar sana masih ramai saudara-saudara kita yang memandang serong dengan ilmu-ilmu energy ni. Banyak kawan2 yg bertanya pandangan saya berkenaan perkara ini. benarkah seperti kata mereka bahawa belajar ilmu energy ini berisiko mengundang kehadiran jin ke dalam tubuh kita???

Saya hanya mampu tersenyum... Rasanya hari ini saya terpanggil untuk menjawab sedikit lebih ( hehe macam lagu anuar zain la pulak )...hmmm,  latar belakang ilmu membuat kita berbeza pendapat. saya dan rakan2 juga sudah berdepan dengan ratusan kes pesakit kerasukan jin, kes saka, sihir dan sebagainya. Namun itu tidak harus membuat kita boleh besar kepala dan menghentam ilmu orang lain. Perbuatan menghentam aliran ilmu dan kefahaman orang lain hanya menunjukkan kecetekan ilmu, kefahaman dan sudut pandangan kita.

Dalam sistem ilmu tasauf atau kesufian sendiri sejak dulu memegang  doktrin yang mengatakan bahawa jiwa manusia terdiri daripada 7 maqam nafsu di mana setiap maqam yang sedang diduduki oleh sang jiwa mengandungi 'ehwal' tersendiri. Ertinya, pada setiap maqam nafsu itu, jiwa manusia memiliki ilmu, cara berfikir dan merasa yang berbeza. Berbezanya ilmu, cara berfikir dan merasa seorang imam dan seorang mat rempit adalah kerana berbezanya maqam nafsu yang sedang jiwa mereka masing-masing duduki.

Oleh kerana adanya beza maqam ini, membuat jiwa manusia begitu unik. Dalam 10 kes kerasukan jin yang saya jumpa, 8 daripadanya adalah 'permainan minda bawah sedar'. Ertinya, jiwa manusia boleh meniru aksi kerasukan sebagaimana yang pernah dilihat dan didengar dari mana-mana sumber terutamanya dari filem-filem seram yang sekarang sedang tumbuh bak cendawan mekar selepas hujan di negara kita ini. Ini benar-benar terjadi. Ketika jiwa sedang dilanda masalah, stress, ketakutan yang melampau, akan menimbulkan gejala-gejala gangguan hormon dan aliran darah sehingga muncul reaksi-reaksi yang benar-benar seperti kerasukan misalnya meronta yang sangat kuat sehingga tidak mampu dipegang oleh 10 orang kuat sekalipun, histeria, suara berubah, mata jadi merah dan lain-lain gejala yang biasa kita lihat dalam wayang. memori yang tersimpan dalam data di otak tentang kerasukan, bangkit tanpa sedar ketika jiwa sedang haru-biru.

Alam ghaib tidak dapat dilihat dan dibuktikan dengan dalil yang konkrit. Jadi siapapun boleh hentam mengatakan bahawa si anu kerasukan jin, kemasukan saka dan lain-lain. Tiada siapa boleh buktikan bahawa si anu itu tidak kerasukan, kerana dari zaman dulu lagi fikiran kita sudah ditanam dengan fahaman bahawa jika kelakuannya begini dan begitu, maka itu adalah gejala kerasukan jin, setan, genderuwo dan jiran-jiran sekampungnya. Oleh itu asal nampak kelakuan aneh pada seseorang, langsung kita kaitkan dengan jin dan suku-sakatnya.

Dalam quran sendiri kita manusia diiktiraf sebagai 'ahsani taqwim', iaitu sebaik-baik ciptaan. Kita terlalu memandang rendah martabat diri kita jika kita melihat bahawa betapa mudahnya 'ciptaan terbaik' ini dirasuk jin yang kualitinya dalam hierarki ciptaan tuhan begitu rendahnya. Kita manusia dicipta dari 4 unsur iaitu tanah, air, api dan angin kemudian dilengkapi dengan kekuatan ruh yang merupakan tajalliat atau manifestasi sifat-sifat tuhan. Sedangkan jin hanya tercipta dari 1 unsur api. Tiada unsur lainnya... Walaweh, bagaimana mungkin kita boleh kalah dengan mudahnya. Jin itu unsur api semata, kita pun ada unsur api. Jadi sangatlah mudah bagi jiwa manusia untuk meniru aksi-aksi jin lalu bertindak seperti kerasukan.

Kita punya hati nurani untuk menilai, mana benar dan mana salah.Islam itu agama yang syumul. Jika pihak-pihak di luar sana mengkafirkan ilmu-ilmu dari budaya lain, dan mengutuk umat islam yang menuntut ilmu tersebut, maka pada saya itu adalah sebuah kecetekan fahaman dan ketandusan makrifah.

Kita percaya pada tuhan yang satu, namun kita mengutuk ilmu yang datang dari budaya lain yang menyembah 'tuhan lain'... Aik, wait a minute... Adakah 'tuhan yang lain' ??? Bukankah Allah sendiri berfirman, "walillahil masyriku walmaghrib faainama tuwallu fasamma wajhullah"... Milik Allah timur dan barat, kemanapun kau hadapkan wajahmu, samada wajah fizikalmu, atau wajah hatimu disitu ada Allah... Jika di mana saja ada Allah, maka tiada ruang untuk 'tuhan lain'. Jadi jika kaum di sana menyembah patung, dipatung itu ada 'wajhullah'. jika mereka menyembah pokok maka di pokok itu ada 'wajhullah' kerana hak utk disembah hanyalah milik mutlak Allah. Syiriknya kaum-kaum di sana itu hanyalah kerana mereka meletak, atau mengiktikadkan 'wajhullah' pada objek-objek duniawi yang terbatas. Inti hakikat adalah, dimanapun belakunya penyembahan, disitulah adanya 'wajhullah'.

Oleh kerana tiada ruang bagi 'tuhan lain' utk wujud di mana-mana kerana di mana-mana ada 'wajhullah', maka dimana-mana pun ilmu berada itu semua adalah 'ilmullah', ilmu Allah. Inilah hakikat Laailahaillallah... Tiada apapa di mana-mana saja, kecuali Allah. Tiada ilmu di mana-mana pun kecuali ilmu Allah. cuba nafikan ini, maka anda jatuh syirik. Jatuh longkang 100 tingkat jauh lebih baik dan enak daripada jatuh syirik hehe.

Namun di satu sisi, melihat ke bawah, ke arah syariat, saya bersyukur dengan usaha-usaha mereka untuk menjaga kemurnian syariat. Ya sememangnya semua manusia berbeza maqamnya. Oleh kerana itu, bagi manusia-manusia yang baru mula memasuki arena spiritual, boleh jadi sangat mudah terjerumus kepada fahaman-fahaman yang salah sehingga tersasar dari landasan akidah. Salah pada syariat, maka sesat pada hakikat. Itulah ada istilah tersungkur dipintu syurga.

Akhir kata, marilah kita saling berdamai dalam pelukan kasih sayang tuhan. saling menghormati dan menghargai atas nama cinta dan persaudaraan. apapun aliran ilmu anda, apapun agama anda, sumber ilmu kita dan tujuan keyakinan kita tetap pada tuhan yang satu... 

Salam kasih sayang untuk semua di manapun anda  berada.

 ~ From QIWC with love :)




BAHAGIA DAN BERLIMPAH

BAHAGIA DAN BERLIMPAH Kondisi hidup mengikuti kondisi hati. Di sini, hati mewakili emosi dan perasaan. Perasaan itu sifatnya magnetik. Ia ...